KONSEP SHARIAH DALAM PRODUK KEWANGAN ISLAMIK

Perbankan Islam

Apakah perbankan Islam? Perbankan Islam ialah perbankan yang berlandaskan undang-undang Islam (Syariah), iaitu fiqh muamalat (peraturan Islam dalam transaksi). Kesemua peraturan dan amalan di dalam fiqh muamalat berasal dari Al-Quran dan Al-Sunnah dan sumber undang-undang Islam sekunder yang lain seperti kesepakatan pendapat oleh ulama mujtahid tentang sesuatu hukum Syariah (ijma), menyamakan perkara baru yang tiada nas secara analogi (qiyas) dan hasil usaha daripada para mujtahid dalam merumuskan sesuatu hukum dan nilai melalui kaedah istinbat (ijtihad).

Pematuhan prinsip Syariah Semua bank Islam dan bank-bank SPI (Skim Perbankan Islam) perlu menubuhkan jawatankuasa Syariah bagi membimbing mengenai hal-hal Syariah dan memastikan bahawa fungsi bank tersebut adalah mematuhi kehendak Syariah. Selain daripada itu, nasihat Majlis Penasihat Syariah iaitu badan Syariah tertinggi yang ditubuhkan di Bank Negara Malaysia boleh diperoleh bagi memastikan keseragaman dalam pendapat dan amalan.Ahli-ahli jawatankuasa Syariah dan Majlis Penasihat Syariah kebanyakannya terdiri daripada para cendekiawan dan pakar Syariah dalam bidang perbankan dan kewangan Islam.


Produk-produk Kewangan Islamik

Produk, perkhidmatan dan kemudahan kewangan yang ditawarkan oleh bank, koperasi, dan syarikat pemberi pinjaman wang berlesen (PPW) adalah berlandaskan konsep Syariah dan menepati kehendak Islam yang melarang sebarang aktiviti riba. Produk dan pembiayaan kewangan adalah berlandaskan konsep-konsep Syariah berikut:

  • Kontrak Pertukaran

BAI` `INAH - Bai' `Inah adalah merujuk kepada pembiayaan yang melibatkan akad jual beli yang disusuli dengan pembelian semula oleh penjual pada harga yang berbeza. - Di dalam transaksi ini, penjual menjual aset kepada pembeli secara pembayaran tertangguh dan kemudian membelinya semula secara tunai pada harga yang lebih rendah daripada harga jualan secara tertangguh. - Di Bank Rakyat, aset pendasar yang digunakan adalah komoditi yang dibeli daripada Bursa Suq As-Sila' (BSAS).

BAI` BITHAMAN AJIL - Bai' Bithaman Ajil (BBA) adalah merujuk kepada transaksi penjualan dan pembelian aset berasaskan pembayaran tertangguh pada harga tertentu yang merangkumi margin keuntungan seperti yang telah dipersetujui oleh pihak yang berkontrak.

TAWARRUQ (URUS NIAGA KOMODITI MURABAHAH) - Tawarruq adalah merujuk kepada transaksi jual beli komoditi atau aset berasaskan pembayaran tangguh secara Murabahah (iaitu harga kos aset ditambah dengan margin keuntungan) atau Musawamah (iaitu jual beli yang tidak mendedahkan harga kos aset dan margin keuntungan) daripada penjual kepada pembeli, dan kemudiannya komoditi atau aset tersebut akan dijual secara tunai kepada pihak ketiga (selain daripada penjual asal) bagi mendapatkan tunai. - Ia juga dikenali sebagai Komoditi Murabahah. - Kebiasaannya, konsep ini digunapakai dalam struktur produk deposit, pembiayaan, pengurusan aset dan tanggungan risiko.

ISTISNA` - Istisna' merupakan transaksi jual beli yang melibatkan pembuatan, penghasilan atau pembinaan aset tertentu berasaskan kepada spesifikasi aset dan syarat yang telah dipersetujui oleh al-Mustasni' (pembeli) dan al-Sani' (penjual/pengeluar). Harga aset dan cara pembayaran (sama ada secara pendahuluan atau ansuran) juga memerlukan kepada persetujuan di antara pihak berkontrak ketika kontrak dimeterai. - Kontrak Istisna' adalah berbeza dengan kontrak Ijarah di mana bahan mentah bagi pembuatan aset akan disediakan oleh al-Sani'.

MURABAHAH - Murabahah adalah merujuk kepada transaksi pembelian dan penjualan di mana harga kos aset dan margin keuntungan telah diketahui oleh pembeli dan dipersetujui oleh pihak yang berkontrak. - Pembayaran harga jualan boleh dibuat secara penuh atau secara berperingkat.

BAI` AS-SALAM - Bai' Salam adalah merujuk kepada jual beli aset dengan spesifikasi tertentu. - Pembayaran harga perlu dibuat ketika kontrak Salam dimeterai manakala aset akan diserahkan kepada suatu masa yang ditetapkan.

  • Pinjaman

QARD - Qard merupakan sebuah kontrak pinjaman yang melibatkan dua pihak yang bertujuan untuk kebajikan sosial selain memenuhi keperluan kewangan jangka pendek peminjam. - Amaun bayaran pinjaman adalah sama dengan amaun yang dipinjam.

  • Simpanan & Deposit

WADI`AH - Kontrak Wadi`ah merupakan mekanisme yang membenarkan seseorang untuk mengamanahkan aset miliknya kepada seseorang yang lain bagi tujuan simpanan. - Bank bertindak sebagai penyimpan atau pemegang amanah bagi dana yang didepositkan oleh pelanggan dalam bank. - Memandangkan pelanggan lazimnya membenarkan bank menggunakan deposit yang disimpannya, maka bank bertanggungjawab untuk menjamin deposit tersebut dan atas budi bicara, pihak bank boleh memberikan hibah kepada pelanggan.

  • Perkongsian

MUSYARAKAH - Musyarakah merupakan kontrak perkongsian antara dua pihak atau lebih untuk membiayai sesuatu perniagaan di mana semua pihak yang terlibat menyumbangkan modal sama ada dalam bentuk tunai atau lain-lain. - Keuntungan daripada perkongsian tersebut akan dikongsi bersama berdasarkan nisbah yang dipersetujui, manakala kerugian akan ditanggung bersama berdasarkan nisbah sumbangan modal masing-masing.

MUDARABAH - Mudarabah merupakan sebuah kontrak yang melibatkan Rabbul Mal selaku pelabur yang menyediakan modal, dan Mudarib selaku pengusaha yang menjalankan usaha niaga tersebut. - Sebarang keuntungan yang terhasil daripada usaha niaga tersebut akan dikongsi antara pelabur dan pengusaha berdasarkan kepada nisbah perkongsian keuntungan seperti yang dipersetujui, manakala sebarang kerugian akan ditanggung sepenuhnya oleh pelabur. Pengusaha menanggung kerugian dari aspek masa dan tenaga.

  • Hibrid

AL-IJARAH THUMMA AL-BAI` (AITAB) - AITAB melibatkan dua jenis kontrak, iaitu kontrak sewaan (Ijarah) dan disusuli dengan kontrak jual beli (Al-Bai`).

WAKALAH BI AL-ISTITHMAR - Akad perwakilan antara pelanggan dan bank bagi tujuan pelaburan di mana bank bertindak sebagai ejen untuk melaburkan wang pelanggan ke dalam aktiviti pelaburan patuh Syariah.

  • Ejen

WAKALAH - Wakalah merupakan sebuah kontrak yang melibatkan satu pihak (prinsipal/Muwakkil) mewakilkan satu pihak yang lain (wakil) bagi melaksanakan tugasan tertentu yang patuh Syariah, sama ada secara sukarela atau dengan bayaran upah.

  • Penalti & Caj

TA`WIDH - Ta`widh adalah ganti rugi yang dikenakan ke atas kerugian sebenar yang dialami oleh bank disebabkan oleh kelewatan dan kelalaian pelanggan dalam melaksanakan bayaran pembiayaan. - Pendapatan hasil ta`widh boleh dikira sebagai pendapatan bank.

GHARAMAH - Gharamah merupakan denda atau penalti yang melebihi jumlah Ta'widh yang dikenakan ke atas pelanggan yang ingkar dalam membayar hutang. - Gharamah tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan bank, dan perlu disalurkan kepada badan-badan kebajikan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Syariah.

  • Lain-lain

UJRAH - Ujrah ialah komisen atau yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan yang diberi.

RAHN - Rahn merujuk kepada kontrak cagaran atau gadaian. - Rahn menjadikan sesuatu aset sebagai jaminan kepada pembiayaan atau pinjaman, agar pembiayaan atau pinjaman tersebut boleh dilunaskan dengan nilai aset jaminan tersebut sekiranya penerima biaya atau peminjam tidak mampu melunaskan hutangnya.

KAFALAH - Kafalah adalah merujuk kepada sebuah kontrak jaminan di antara dua pihak atau lebih di mana penjamin (Kafil) menjamin sebarang tuntutan hak dan obligasi yang perlu ditunaikan oleh pihak yang dijamin.

JU`ALAH - Ju`alah adalah merujuk kepada sebuah kontrak yang menjanjikan imbuhan atau upah sebagai ganjaran di atas tugasan yang berjaya dilaksanakan.

IBRA' - Ibra' merujuk kepada rebat yang diberikan oleh bank kepada pelanggan yang melunaskan pembiayaan lebih awal berasaskan kepada kontrak jual dan beli. - Klausa Ibra' perlu diselaraskan dengan dokumen perjanjian bagi mengelakkan daripada berlakunya isu ketidakpastian (gharar) berhubung dengan hak pelanggan.

Glosari Istilah Perbankan Islam

  • Al-bai` - Akad jual beli
  • Al-ijarah thumma al-bai (AITAB) - Akad sewa yang disusuli dengan pemilikan barang oleh penyewa melalui akad jual beli
  • Bai` `inah - Akad jual beli yang disusuli dengan pembelian semula oleh penjual dengan harga yang berbeza
  • Bai` dayn - Akad jual beli hutang
  • Bai` bithaman ajil (BBA) - Akad jual beli berasaskan pembayaran tertangguh/ansuran pada harga tertentu
  • Bai` salam - Akad jual beli secara pesanan terhadap aset tertentu dengan spesifikasi tertentu. Pembayaran penuh dibuat secara tunai semasa akad dimeterai manakala penyerahan barang ditangguhkan ke suatu masa yang ditetapkan
  • Faraid - Ilmu pengetahuan atau hukum tentang pembahagian harta pusaka mengikut peraturan Islam
  • Fiqh muamalat - Disiplin ilmu yang membahaskan hukum berkenaan dengan urusan kehidupan manusia sesama manusia
  • Gharamah - Denda/Penalti
  • Gharar - Ketidakpastian  
  • Hibah - Hadiah
  • Ibra’ - Rebat/Pengguguran sebahagian atau keseluruhan tuntutan terhadap sesuatu hak atau hutang 
  • Ijarah - Akad sewa atau upah yang melibatkan faedah/manfaat daripada sesuatu aset atau tenaga kerja dengan bayaran atau upah tertentu dalam tempoh yang dipersetujui
  • Istisna` - Akad jual beli secara tempahan bagi sesuatu produk dengan spesifikasi tertentu dan dengan kaedah penyerahan dan pembayaran tertentu (sama ada tunai atau bertangguh)
  • `Iwad - Imbalan
  • Kafalah - Jaminan
  • Maysir - Judi
  • Mudarabah - Akad perkongsian untung
  • Muqasah - Tolak selesai
  • Murabahah - Akad jual beli dengan pendedahan harga kos aset dan margin keuntungan kepada pembeli
  • Musawamah - Akad jual beli tanpa pendedahan harga kos aset dan margin keuntungan kepada pembeli
  • Musyarakah - Akad perkongsian untung rugi
  • Musyarakah mutanaqisah - Akad perkongsian yang membenarkan seorang (atau lebih) rakan kongsi memberikan hak kepada rakan kongsi yang lain untuk memiliki bahagian aset kepunyaannya secara beransur-ansur berdasarkan syarat-syarat yang dipersetujui
  • Qard - Akad pinjaman
  • Rahn - Gadaian/Cagaran
  • Sukuk - Merujuk kepada sijil nilai yang sama yang membuktikan pemilikan yang tidak berbelah bahagi atau pelaburan dalam aset yang menggunakan prinsip dan konsep Syariah yang disahkan oleh Majlis Penasihat Syariah (MPS).
  • Ta`widh - Pampasan
  • Tabarru’ - Pemberian/Sumbangan secara sukarela
  • Takaful - Suatu skim yang bercirikan semangat bantu-membantu dan tolong-menolong dengan menyediakan bantuan kewangan kepada peserta-peserta jika diperlukan dan semua peserta sama-sama bersetuju untuk memberikan sumbangan bagi tujuan tersebut
  • Tawarruq/komoditi murabahah - Membeli sesuatu barang dengan harga tangguh sama ada secara musawamah atau murabahah, kemudian menjualnya kepada pihak ketiga bagi memperoleh wang tunai
  • Ujrah - Upah
  • Wa’d - Janji
  • Wadi`ah - Akad simpanan harta yang diamanahkan oleh satu pihak kepada pihak lain untuk dijaga dan dipulangkan apabila diminta
  • Wakalah - Akad perwakilan
  • Wakaf - Sesuatu pemberian atau sumbangan ikhlas harta yang dimiliki untuk kepentingan dan kesejahteraan umum yang dibenarkan oleh Syarak